Farizal Marlias Dan Khairul Fahmi boleh dikatakan penjaga gol terbaik negara ketika ini.
KHAIRUL FAHMI CHE MAT
Khairul Fahmi Che Mat merupakan penjaga gol utama skuad kebangsaan sejak tahun 2010. Beliau merupakan penjaga gol pasukan Kelantan FA ketika ini. Beliau telah bersama Kelantan sejak 2006 iaitu ketika bersama skuad Piala Presiden Kelantan. Beliau dilamar untuk menyertai skuad Harimau Muda pada tahun 2008 untuk beraksi dalam saingan Liga Perdana Malaysia. Beliau berjaya membantu skuad Piala Presiden Kelantan layak ke final Piala Presiden 2006/07. Beliau dan Asraruddin Putra Omar telah dijemput untuk menjalani latihan percubaan bersama kelab bawah 19 dan 23 tahun Belanda, PSV Eindhoven selepas mempamerkan persembahan yang cemerlang dalam saingan Piala Juara-Juara Belia 2007 di mana pasukan kebangsaan bawah 19 tahun kecundang seawal peringkat kumpulan selepas tewas 2-1 kepada Bayern Munich, seri 0-0 menentang Chelsea dan tewas 2-0 kepada PSV Eindhoven.
Khairul Fahmi kembali mewakili Kelantan pada tahun 2009. Beliau mencipta rekod sebagai penjaga gol paling muda yang beraksi dalam pasukan senior Kelantan. Beliau merupakan kunci utama kemenangan pasukan Kelantan ke atas Negeri Sembilan dalam final Piala Malaysia 2010. Pada tahun tersebut juga beliau menerima anugerah Pemain Muda Terbaik dan Penjaga Gol Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100 Plus/FAM.
Beliau mula mewakili pasukan kebangsaan bawah 23 tahun pada tahun 2010. Beliau melakukan penampilan pertama dalam saingan Sukan Asia 2010. Beliau membantu pasukan kebangsaan melayakkan diri ke pusingan ke dua tetapi tumbang 3-1 kepada Iran. Khairul Fahmi menjadi wira ketika membantu skuad kebangsaan bawah 23 tahun mempertahankan pingat emas di Sukan Sea 2011. Beliau juga telah membantu skuad kebangsaan bawah 23 tahun melayakkan diri ke pusingan ketiga kelayakkan Sukan Olimpik 2012.
Beliau membuat penampilan pertama bersama skuad kebangsaan ketika menentang Oman pada 3 September 2010 selepas menggantikan Sharbinee Allawee. Beliau menjadi kunci kejayaan skuad Harimau Malaya menjulang Kejuaraan Piala AFF Suzuki buat kali pertama dalam sejarah pada tahun 2010. Beliau beraksi pada perlawanan kedua peringkat kumpulan menentang Thailand selepas Sharbinee Allawee melakukan kesilapan pada perlawanan pertama di mana Malaysia tumpas 5-1 kepada Indonesia. Khairul Fahmi terus beraksi pada perlawanan seterusnya iaitu ketika mencatatkan kemenangan 5-1 ke atas Laos sebelum mencatatkan rekod tanpa bolos ketika Malaysia menumpaskan Vietnam dalam peringkat suku akhir. Khairul Fahmi terus mengharumkan nama negara selepas membantu Malaysia menang 3-0 pada perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum beliau menyelamatkan sepakan penalti Bambang Pamungkas ketika final kedua di Stadium Gelora Bung Karno yang menyaksikan Malaysia tumpas 2-1 tetapi menjulang kejuaraan selepas Malaysia menang secara agregat 4-2.
Beliau pernah beraksi menentang pasukan dari Liga Perdana Inggeris iaitu ketika tewas 4-0 kepada Arsenal, 6-3 kepada Liverpool pada 2011. Beliau juga beraksi ketika tewas 3-1 kepada Manchester City pada tahun 2012.
FARIZAL MARLIAS
Farizal Marlias merupakan penjaga gol kebangsaan sejak tahun 2007. Beliau merupakan penjaga gol baru pasukan Perak FA untuk saingan Liga Super Malaysia 2013. Beliau pernah beraksi bersama Shahzan Muda (2006-2008), Perlis (2009-2010) dan Negeri Sembilan (2011-2012). Beliau membantu Negeri Sembilan menewaskan Terengganu untuk menjulang Piala Malaysia 2011.
Farizal Marlias menjadi penjaga gol pilihan ketiga di belakang Syed Adney dan Helmi Eliza Elias ketika saingan Piala AFF Suzuki 2008 selepas Badruzaman Abdul Halim terpaksa diketepikan akibat kecederaan. Farizal Marlias memperolehi penampilan pertama bersama skuad kebangsaan pada 12 Julai 2009 ketika menentang Zimbabwe. Beliau beraksi dua perlawanan ketika menentang Manchester United pada tahun 2009 di mana Malaysia tewas kedua-dua perlawanan tersebut. Dalam perlawanan tersebut, Amri Yahya menjaringkan 2 gol cantik ketika Malaysia tewas 3-2 dalam perlawanan pertama.
Farizal Marlias merupakan penjaga gol utama skuad kebangsaan sehingga saingan Piala AFF Suzuki 2010. Tetapi beliau terpaksa diketepikan kerana kecederaan dan tempatnya digantikan oleh Khairul Fahmi Che Mat dan Sharbinee Allawee. Pada tahun 2011, beliau membuat penampilan semula untuk skuad kebangsaan ketika menentang Hong Kong. Beliau juga beraksi ketika menentang pasukan dari Liga Perdana Inggeris, Chelsea di mana beliau tidak dibolosi sehinggalah minit ke 75 selepas Izham Tarmizi menggantikannya.
Farizal Marlias juga beraksi dalam perlawanan menentang Manchester City di mana skuad Malaysia tumbang 3-1.
KESIMPULAN
Berdasarkan rekod dan kejuaraan sememangnya Khairul Fahmi lebih gah berbanding Farizal Marlias. Tetapi Khairul Fahmi sedikit menurun sejak akhir-akhir ini. Persembahan Farizal Marlias dilihat lebih bagus ketika ini. Farizal Marlias pernah dipuji oleh jurulatih-jurulatih dari pasukan Liga Perdana Inggeris seperti Luiz Felipe Scolari (Chelsea), Sir Alex Ferguson (Manchester United) dan Arsene Wenger (Arsenal). Farizal Marlias pernah dilabel sebagai pengganti kepada R. Arumugam.
No comments:
Post a Comment